Assalamualaikum wbt,
KISAH SETIA
“Ukhti tahu makna setia?” Saya bertanya. Alang-alang dia menyebut tentang setia, mungkin berbicara tentangnya dapat membuka mata dan jiwa.
Dia memandang tepat ke anak mata saya sejurus soalan itu ditanya. Seakan sedikit terkejut dengan soalan yang tiba-tiba.
“Bagi saya, setia ialah tidak menduakan. Kasih dan sayang hanya pada yang satu, tidak terbahagi ke sana dan sini.” Tulus jawapan yang dilontarkannya pada pendengaran saya.
”Kalau kakak katakan itu bukan maksud yang tepat untuk setia, bagaimana? “ Sekali lagi saya mengasak dengan soalan yang tidak diduganya. Kali ini dia diam, tidak terus memberikan pandangan.
“Kakak katakan, maksud yang ukhti nyatakan tadi hanyalah setia dari sudut emosi dan perasaan semata, kerana ia satu keinginan normal yang diimpikan ramai pencinta tapi ia bukan maksud sebenar setia dalam ertikata iman dan takwa.” Saya cuba menjelaskan seringkas mungkin.
Mendengar itu, matanya dikecilkan, dahinya dikerutkan.
“Saya tak faham kak….” Tepat tekaan saya. Dia mahukan penjelasan lanjut tentang setia!
“Cuba ukhti dengarkan dulu kisah menarik ini…” Saya menyambut kata-katanya dan mula bercerita.
WANITA TABAH
Sungguhpun jiwanya pedih saat mengetahui perkahwinan kedua suami, namun dia menerima dengan pasrah segala ketentuan Yang Maha Esa.
Sedangkan…..
Setiap saat guruh di langit berdentum hebat, tika bumi hampir bah ditimpa hujan lebat, dia memandang ke langit yang tinggi, menadah tangan ke hadrat ILAHI agar suami yang jauh dari mata kerana bekerja di perantauan selamat dan terpelihara dari sebarang bencana.
Bila ditanya mengapa dia pasrah menerima semua itu, dengan tenang dia menutur bicara :
“Kerana bernikah lagi secara sah menurut hukum agama, bukanlah satu perkara aib.”
Orang yang mendengar agak kehairanan lalu dia diasak lagi dengan persoalan yang menyentuh riak rasanya sebagai seorang wanita. Sekali lagi, dia menjawab dengan jiwa kental seorang muslimah mukminah solehah :
“Selama ini saya tidak lelah berdoa kepada ALLAH, memohon supaya suami dipelihara oleh-NYA…lantas, bila mengetahui suami berkahwin lagi, membuatkan saya berfikir, jangan-jangan…..dengan suami bernikah kedua kali ini, adalah cara ALLAH mengabulkan doa saya, menjaga suami dari melakukan maksiat, atau supaya suami saya ada yang merawat nun jauh di perantauan sana…”
SubhanALLAH!
ITULAH SETIA
Saya menjeling sekilas ke wajahnya. Kolam air matanya kembali bergenang usai mendengar kisah seorang isteri yang tabah, cekal dan berjiwa besar itu tadi. Kisah yang selalu saya ulangi setiap kali berbicara tentang poligami. Ia satu sisi indah kehidupan penuh misteri ini yang hanya mampu difahami, dicerna dan diterima oleh jiwa yang benar-benar menyerahkan baik buruk perjalanan hidupnya kepada kebijaksanaan ALLAH SWT dan aturan takdir-NYA. Individu sebegini mengerti bahawa usahanya tertakluk kepada qada’ dan qadar ILAHI jua, tidak terkeluar walau seinci pun dari qudrat, iradat dan ilmu-NYA yang tidak terbatas.
Saya menepuk lembut belakang tubuhnya. Dia menundukkan kepala. Manik-manik jernih mula jatuh, melebar dan membentuk ruang tersendiri di lantai tangga tempat kami berbicara. Tangisannya sedikit pecah dengan sendunya yang menusuk hati wanita saya.
Mata saya turut basah…
“Ukhti, wanita di dalam kisah kakak tadi menunjukkan contoh setia yang luarbiasa. Dia tidak menyalahkan sesiapa pun di atas semua yang terjadi. Sebaliknya dia menggunakan mata fikir dan mata hatinya sehingga diperlihatkan ‘hikmah’ mengapa berlakunya perkahwinan suami yang dikasihi. “ Saya menjelaskan.
“Tapi kak, di mana nilai setia yang kakak katakana itu? Saya masih kabur….” Perlahan dia mengangkat kepala dan bertanya. Situasi itu amat menggembirakan saya.
“Dik, setia sebenar bukanlah tidak menduakan. Jika sekadar itu maksud setia, bagaimana pula perkahwinan Rasulullah SAW dengan beberapa sahabiah terkemuka selepas kewafatan Khadijah. Adakah baginda tidak setia?
Setia yang benar menurut penilaian iman dan takwa ialah menjadikan syri’at ALLAH dan keredaan-NYA sebagai sebab unggul atas kemungkinan segala-galanya. Hati isteri mana yang tidak terluka dengan apa yang berlaku, tetapi dia melihat sisi lebih positif iaitu melihat perkahwinan suaminya sebagai cara ALLAH memakbulkan doa-doanya agar memelihara keselamatan agama dan iman suami. “
No comments:
Post a Comment