Benda yg pahit ni, kita perlu berkali2 telan air liur. Berkali-kali kena minum air masak untuk hilangkan rasa.
Itu pun mungkin hanya boleh hilangkan rasa di lidah, bukan di ingatan. Sekali-kali tidak. Memori yang tersimpan kekal jadi ingatan sepanjang hayat.
Bila ditimpa sesuatu musibah, kita akan terus mencari tempat bergantung. Tempat untuk mengadu rasa. Tempat untuk menumpang simpati. Untung menjadi orang Islam kerana tempat pergantungannya ialah Allah, Tuhan sekalian alam. Yang memiliki alam ini. Segala yang berlaku dibawah pengetahuan dan ilmu-Nya. Bayangkan mereka yang tidak mengenal Tuhan, pasti yang dicarinya tidak dapat memberi apa-apa.
Lain pula bagi Allah swt. Dia akan mengajar kita menerima takdirNya. Akan disuluhnya cahaya dalam gelap hitam malam. Akan diberikan kekuatan untuk menghadapi segala yang berlaku didepan. Dia, akan pimpin tangan kita melalui hari-hari mendatang. Hanya sabar dan redha yang perlu disematkan dalam jiwa.
Aku pernah merasa pahitnya ujian. Bukan sekali, bukan juga dua kali. Bahkan berkali-kali. Melalui hari-hari penuh ujian itu sememangnya air mata menjadi teman setia. Sungguh merasakan hidup tak bermakna. Pahit. Tak sanggup menelannya. Jika diulang lagi, aku sekali-kali tak mahu. Tak sanggup. Tak mampu.
Ayat-ayat penuh kasih dari Tuhan Yang Maha Pengasih sahajalah yang merawat luka dijiwa. Luka yang sebenarnya kita yang cipta. Luka kerana terlalu mencintai dunia. Lalu bila Allah tarik dari kita, kita goyah. Sakit. Jatuh terduduk. Mengharapkan Allah pulangkan kembali dunia itu. Mengharapkan Allah tahu sakitnya luka ditinggalkan dunia. Kita merayu-rayu untuk Allah pulangkan ia..
Tapi Allah hanya mahukan kebaikan untuk kita. Dia ambil benda yang kita sayang, kerana benda itu bukan untuk kita. Dia tarik dunia dari kita kerana dunia sememangnya hanya permainan. Dia tak mahu kita terleka dengannya.Dia mahu berikan sesuatu yang lain, yang lebih baik untuk kita. Dia Maha Tahu segalanya tentang makhluk ciptaannya. Dia Tahu, kalau diberi yang ini, takkan memberi kebaikan kepada kita. Dia Maha Tahu segala sesuatu.. Maha Tahu
Kita menangis-nangis bila kita tak dapat apa yang kita mahu. Yang kita minta. Ya, payah sekali untuk memujuk hati. Lagi payah untuk mencari jawapan kepada persoalan 'kenapa aku?'. Payah.
Tapi, nak tahu sesuatu? Tarbiyah yang datang dari Allah ni sajalah yang dapat diterima manusia, berbanding dari tarbiyyah manusia sesama manusia. Ni super power tarbiyyah. Yang kita tak boleh nak kata apa-apa dah. Tak boleh nak bantah apa-apa dah. Dah boleh nak buat apa-apa dah.
Full-stop. Dan saat itu, jiwa kita merendah padaNya. Kita dah tak peduli apa kata orang tapi kita hanya akan sentiasa mahu puaskan Allah, merendahkan diri menghadapNya. Mengharapkan kalau-kalau masih ada peluang untuk kita bertaubat atas dosa-dosa kita. Atau yang paling tidak, kita bersujud dalam mengaku keesaan Allah sepenuh jiwa. Kita mengaku kekuasaanNya, yang boleh menghidup dan mematikan manusia. Yang boleh menarik nikmatNya bila-bila masa. Kita dengan rela hati mengaku akan hakikat itu.
Dan jiwa kita merendah padaNya. Sesuai dengan title kita sebagai hamba. Allah, Dia tarik sesuatu dari kita bukanlah apa-apa. Dia hanya mahu mendengar rintihan kita yang mungkin dah lama jarang kita bisikkan dengan sepenuh jiwa. Dah lama kita tak ucapkan. Dia hanya mahu kita kembali kepadaNya, yang mana padaNya ada syurga, sebagai balasan orang yang bertaqwa.
Dia mahu kita meraih syurgaNya. Dengan sabar dan redha yang kita berikan. Dan sabar itu bukanlah dengan kata-kata, tapi dengan hati. Yang mana Dia menilainya. Dia tarik dari kita dunia yang sifatnya sementara untuk hadiahkan kita syurga yang kekal selama-lamanya.
Ya, bukan mudah untuk melalui musibah. Tak semudah berkata-kata. Namun, percayalah, Allah sekali-kali tidak menzalimi hambaNya. Kitalah yang menzalimi diri kita, dan Allah hanya mahu kita berhenti dari terus menzalimi diri.
InsyaAllah, banyak hikmah yang menanti dihadapan nanti. Terus-terang kukatakan, ujian2 yang menimpaku lah yang membawa aku sampai ke tahap ini. Aku takkan jadi seperti sekarang tanpa ujian2 yang mengajar aku tentang erti hidup yang sebenar. Yang menguatkan hayunan langkah kaki bila jalan semakin menyukarkan.
Alhamdulillah a'la kulli haal.. kepada Allah jualah aku kembalikan segala kesyukuran. Sebab keranaNya, aku hidup dan aku mati..
"Setiap bencana yang menimpa di bumi dan yang menimpa dirimu sendiri, semuanya telah tertulis dalam kitab (Lauh Mahfuz) sebelum Kami mewujudkannya. Sungguh, yang demikian itu mudah bagi Allah.
Agar kamu tidak bersedih hati terhadap apa yang luput dari kamu, dan tidak pula terlalu gembira terhadap apa yang diberikanNya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong dan membanggakan diri."
Al-Hadid:22-23
Kepada yang diluar sana, yang ditimpa musibah, yakinlah, Allah sayangkan kamu.
~moga Allah terus bimbing kita melalui hari-hari ujian ini..
No comments:
Post a Comment