Friday, January 31, 2014
Penolakan
Salam alaik,
Penolakan. Dalam hidup kita pasti melalui satu keadaan yang mana kita menerima penolakan dari pada mereka yang berada disekeliling kita. Baik dari mereka yang dekat mahupun yang baru kita kenal.
Keluarga, ibu bapa, kakak, adik, mahupun abang kita sendiri, teman rapat, kawan sekelas, sepejabat, guru, pensyarah housemate ataupun roomate.
Pendapat kita ditolak, kehadiran kita tak disenangi, keberadaan kita tak diperlukan dan bermacam lagi jenis penolakan yang kita boleh rasakan dari keadaan sekeliling.
Penolakan itu membuatkan kita terasa. Hati kita sakit. Senyum tak seindah. Air yang ditelan terasa pahit. Muka kita terasa tebal dan sebal. Malu. Lalu kita menyendiri. Membawa diri lari.
Lari.
Jauh. Kalau boleh tidak mahu bersemuka lagi.
Kita rasa kita tiada siapa-siapa lagi yang boleh menerima diri. Penolakan yang ada terasa begitu sakit. Tiada tempat untuk mengadu. Tiada yang boleh ditagih simpati. Kita mencari-cari siapakah insan yang masih boleh dipercayai. Namun bila tak dijumpai, kita kecewa sendiri.
Lalu kita menyoal diri, kenapa manusia perlu membenci?
Sang Nabi yang ulul azmi bahkan dibenci dan disakiti, inikan kita yang masih bergelut dengan dosa sendiri. Manusia terkadang lupa, dia juga bukan sempurna. Bilamana dia mencari kesempurnaan, dia takkan jumpa.
Allah datangkan penolakan dari sekeliling kita, hanya ada satu saja sebabnya. Untuk kita kembali kepadaNya. Untuk kita ketahui bahawa manusia takkan selalu bersama kita. Dan, untuk kita tahu, Dia ada untuk kita bila-bila masa.
Tatkala semua manusia tidak ada untuk kita, kita tahu Allah setia dengan kita. Allah sedia mendengar rintihan dan keluh kesah hambaNya. Allah ada. Cuma kita tak sedar keberadaanNya.
Rasulullah saw menerima penolakan demi penolakan. Diboikot oleh kafir Quraisy, Nabi masih boleh bertahan dengan adanya Khadijah dan Abu Talib disisi. Namun bila Allah tarik dua susuk yang teguh membantu itu, baginda sedikit goyah. Namun dikuatkan hati pergi ke Thaif, mencari sekiranya masih yang boleh menerima diri dan dakwah yang dibawanya. Tetapi baginda berhadapan dengan penolakan lagi, bersama dengan luka dikepala dan kaki.
Kenapa? Kenapa Sang Rasul diuji sebegitu hebat? Kerana Allah mahu ajar sang Nabi, bahawa Dia saja yang ada disisi.
Allah mahu baginda hanya bertawakal hanya kepadaNya. Bukan yang lain. Solely to Him.
Jadi jangan bersedih dengan penolakan manusia. Andai kita yang silap, maka perbetulkan. Namun jika kita dipihak yang benar, yakinlah, Allahkan selalu ada bersama kita.
wallahualam~
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment